Monday, July 19, 2004
Telefon untuk umat Islam
PERNAHKAH anda terpaksa melihat arah matahari dan membuat pengiraan mudah arah Mekah untuk mengetahui arah kiblat di tempat yang baru anda kunjungi bagi menunaikan ibadat solat. Bagi umat Islam yang sering mengembara, melancong atau mempunyai tugasan luar, kesukaran menunaikan ibadah kadangkala disebabkan perkara kecil seperti tidak mengetahui arah kiblat yang betul dan tidak mengetahui waktu sembahyang di tempat baru. Untuk mengatasi masalah mencari arah kiblat, kompas yang menunjukkan arah Kaabah merupakan alat yang mesti dibawa apabila mengunjungi tempat-tempat baru. Bagaimanapun, memiliki kompas kiblat tersebut masih belum mencukupi kerana anda masih tidak mengetahui masa masuk waktu sembahyang yang tepat. Dengan bantuan teknologi terkini yang kini diterapkan kepada telefon bimbit, umat Islam kini tidak lagi perlu berasa waswas mengenai arah kiblat atau mengetahui waktu sembahyang. Syarikat perkhidmatan telefon bimbit negara seperti Maxis Communications Berhad (Maxis), Celcom (Malaysia) Berhad (Celcom) dan DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) misalnya telah memperkenalkan perkhidmatan maklumat berkaitan Islam kepada pelanggan mereka. Perkhidmatan maklumat Islam misalnya dikenali sebagai Perkhidmatan Islam dan pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai panduan solat, puasa, zakat, haji dan pelbagai lagi. Manakala, bagi Celcom pula, pelanggannya boleh mendapatkan maklumat waktu solat tempatan dan antarabangsa melalui Perkhidmatan Info Muslim.
More
Read or Post a Comment
<< Home