Friday, July 30, 2004
Al-Quran sebagai peringatan
Kalamullah
Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam. Iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. (At-Takwir: 27-28)
Huraian:Allah s.w.t. telah mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi ini supaya dapat mentadbirnya.
Allah s.w.t. menurunkan al-Quran sebagai kitab panduan yang sempurna, yang memandu perjalanan hidup manusia merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak serta peraturan berkeluarga, bermasyarakat dan negara.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 2 bermaksud:
Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.
Sesungguhnya ajaran agama Islam itu mudah untuk diamalkan oleh manusia. Namun apabila kehidupan manusia itu sendiri menyimpang dari landasan agama, banyak perkara buruk boleh berlaku, seperti keruntuhan institusi keluarga, keruntuhan moral, pencemaran, pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya.
Dengan sebab sikap kealpaan manusia, umat Islam digalakkan agar sentiasa saling berpesan antara satu sama lain sesuai dengan firman Allah di dalam surah az-Zariyat ayat 55 yang bermaksud:
Dan tetap tekunlah kamu memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
Kesimpulan:
Kehidupan manusia mesti dipandu oleh peraturan dan undang-undang serta ingatan yang berterusan dari masa ke masa untuk menjurus kepada jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Read or Post a Comment
<< Home